Selasa, 16 Oktober 2012

Omong Kosong

Assalamualaikum pembuka bicara. Salam sejahtera. Lama sudah rasanya tidak menulis. mungkin kerana ketandusan topik yang hendak ditulis walaupun sebenarnya banyak perkara yang boleh dijadikan topik. Faktor kekangan masa juga menjadi asbab blog ini betul-betul menjadi laman se'sawang'. Berhabuk dan hapak. Almaklumlah, saya yang menulis ini tidaklah sepopular mana. Ah, apa dikisah pada populariti. Tidak menjamin apa-apa. Masakan artis yang paling popular juga bisa jatuh tersungkur dan tenggelam.

Entri kali ini hanyalah bicara kosong yang mungkin tak punya apa-apa mesej. Cuma mahu meluahkan dan menenangkan minda yang makin bercelaru dan bergelora. Masakan tidak, kerja-kerja dan tugasan makin membiak dari minggu ke minggu. Mujurlah ada laman 'sawang' ini untuk menjadi pendengar setia. eh, pendengar? ada telingakah? Gurau saja. Biasalah, orang yang sedang 'mereng' otaknya memang begini. Suka merapu dan merepek. 

Jika difikir-fikir kembali, mana ada kehidupan yang bebas daripada kesibukan. Setiap entiti yang menghuni sfera bergerak ini pasti akan ada kesibukan masing-masing. Cuma mungkin berbeza dari segi tahap kesibukannya. Mana tidaknya, semua orang ada peranan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu diselesaikan. Yang bekerja dengan kerjanya, yang pelajar dengan tugasan dan ujiannya. Tapi dalam kesibukan kita pun, perkara-perkara penting jangan pula terabai. Jangan sampai kesihatan terabai, yang sudah berkeluarga jangan dilupakan keluarganya, yang bujang jangan sampai kebersihan tidak dijaga.

Dalam dunia sekarang ini, kita sangat perlu bijak berdikari. Kalau asyik mengharap pada orang lain saja, sampai bila-bila pun kita tak boleh berdiri di atas tapak kaki kita sendiri. Umpamanya macam layang-layanglah, masa terikat dengan talinya, bolehlah ia menari ke sini ke sana, tapi bila terputus talinya, lihat apa yang mampu dibuatnya. Terumbang-ambing tanpa arah, akhirnya, jatuh ditarik graviti. Jika tidak pun, tersangkut di dahan-dahan, tiang elektrik, hanya menunggu masa untuk tamat riwayatnya.

Akhir kata, pandai-pandailah jaga diri. Apa yang penting, kemahuan diri untuk berjuang dalam hidup. Tak perlu nak jadi askar baru nak digelar pejuang. Kita yang tercipta sebagai manusia ini pun sudah dikira sebagai seorang pejuang. Perjuangkan apa yang kita rasakan bermanfaat untuk kita dan juga masyarakat disekeliling kita. Sekian, semoga bertemu dalam tulisan yang akan datang insya-Allah :) Salam . . .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan